BANDAR SERI BEGAWAN – Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semalam mengumumkan bahawa negaranya akan melaksanakan hukum hudud bermula pada hari ini.
“Dengan penuh keyakinan dan kesyukuran kepada Allah Maha Besar, saya mengumumkan esok (hari ini) undang-undang syariah fasa pertama akan dikuatkuasakan dan ia akan diikuti dengan fasa-fasa seterusnya,” kata baginda dalam satu dekri diraja semalam.
Fasa pertama dan kedua akan bermula pada tahun ini manakala fasa seterusnya akan bermula pada tahun depan.
Pada fasa pertama, hukuman penjara dan denda akan dilaksanakan antaranya untuk pesalah yang tidak menghadiri solat Jumaat dan hamil di luar nikah.
Pada lewat tahun depan, hukuman seperti rejam dengan batu kerana kesalahan meliwat dan zina akan diperkenalkan.
Ekoran pengumuman tersebut, Brunei yang kaya dengan minyak akan menjadi negara pertama di Timur Asia dan Asia Tenggara yang memperkenalkan hukuman hudud.
Brunei menyertai kebanyakan negara di Asia Barat seperti Arab Saudi, Iran dan Iraq yang turut menguatkuasakan hukuman itu.
Antara hukuman itu ialah tangan pencuri akan dipotong.
Kerajaan Brunei sebelum ini menangguhkan pelaksanaan hukum hudud selepas dikritik beberapa badan hak asasi antarabangsa.
Bagaimanapun, pemerintah berusia 67 tahun itu memutuskan untuk meneruskan perlaksanaan hukum hudud dan menolak dakwaan bahawa undang-undang itu sebagai tidak adil.
“Ada pihak menuduh undang-undang Allah ini kejam dan tidak adil tetapi Allah sendiri berfirman bahawa undang-undang itu adalah adil,” ujar baginda lagi di sebuah pusat konvensyen di sini.
Pemerintah Brunei itu merupakan antara orang terkaya di dunia dan kekayaannya pernah dianggarkan majalah Forbes berjumlah AS$20 bilion (RM65.28 bilion) pada tiga tahun lalu.
Sultan Hassanal Bolkiah juga dilaporkan mempunyai banyak koleksi kereta mewah dan istana yang dihiasi emas.
Baginda sebelum ini berselisihan faham dengan adiknya, Putera Jefri Bolkiah yang didakwa menggelapkan wang berjumlah AS$15 bilion (RM 48.98 bilion) ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.
Brunei mempunyai kira-kira 400,000 orang penduduk dengan 70 peratus daripadanya merupakan penganut Islam. – Agensi
Tidak ada komentar:
Posting Komentar