Minggu, 27 April 2014

PABM2014 : Peserta Rusia dan Sudan Diraikan Sebagai ‘Pengantin’

Homestay Sg Tengi3


HULU SELANGOR – Peserta dari Rusia dan peserta dari Sudan diraikan sebagai pasangan ‘pengantin’ dalam adat Melayu pada Malam Citra Budaya dalam program inap desa di Felda Sungai Tengi malam ini.
Pasangan peserta Maria Mitsura dan Maad Mohamed Shaikhoun Mohamed diraikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang tiba di Dewan Serbaguna Felda Sungai Tengi pada pukul 8.45 malam.
Dalam ucapan beliau, majlis berkenaan diadakan untuk memberi pengalaman kepada peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2014 menyaksikan upacara perkahwinan adat Melayu dengan meraikan peserta dalam kalangan mereka sendiri.
Menurutnya, tema bersanding amat tepat sekali kerana ia amat bersesuaian dengan adat Melayu yang mana majlis seperti itu akan mengumpulkan seluruh penduduk sekitar meraikan pasangan mempelai.
Selesai ucapan, pasangan Maad Mohamed Shaikhoun dan Maria diarak masuk dengan paluan kompang dari anak-anak muda Felda berkenaan dengan disaksikan kira-kira 200 orang penduduk sekitar menyaksikan detik bersejarah berkenaan.
Sebelum masuk ke dewan, kedua mempelai olok-olok itu duduk di atas kerusi di luar dewan menyaksikan persembahan silat pengantin yang menjadi kebiasaan pada mana-mana majlis perkahwinan Melayu di Malaysia.
Homestay Sg Tengi4
Pasangan peserta terpilih itu kemudian dibawa bersanding di atas pelamin yang disediakan di atas pentas dewan untuk majlis bersanding dan kemudian mereka ditepung tawar oleh Razali dan beberapa tetamu termasuk ibu dan bapa angkat Maria.
Dua wakil peserta PABM 2014 turut menepung tawar mempelai.
Selepas menepung tawar, pasangan pengantin turut dibawa untuk merasai pengalaman makan beradab mengikut adat Melayu bersama Razali.
Majlis Malam Citra Budaya berkenaan merupakan aturcara hari kedua program inap desa di felda berkenaan yang dijalani oleh peserta selama empat hari tiga malam.
Pada majlis itu juga para peserta menggayakan pakaian adat Melayu antaranya kebaya, baju kurung dan baju melayu diberikan oleh keluarga angkat mereka yang menjaga mereka sepanjang mereka di felda itu.
Homestay Sg Tengi5
Ia merupakan sebagai hadiah kepada peserta PABM 2014 selepas tamat pertandingan mereka Jumaat lepas.
Program inap desa PABM 2014 bukan sekadar pertandingan pidato tetapi lebih dari itu. – MYNEWSHUB.MY
Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS | Foto dan Video : RIZA RAZAK

Tidak ada komentar:

Posting Komentar