Senin, 28 April 2014

Segera - Seniman Terkenal Indonesia, Idris Sardi Meninggal Dunia

Seniman Terkenal Indonesia, Idris Sardi Meninggal Dunia

Dunia hiburan Indonesia kehilangan pemuzik legenda, Idris Sardi, 76, yang meninggal dunia hari ini, selepas menderita penyakit paru-paru.
‘Maestro biola Indonesia’ itu yang sebahagian besar usianya menggesek biola menghembuskan nafas terakhir di Hospital Meilia Cibubur, di sini pada 7.25 pagi.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Menteng Pulo, di sini, petang ini.
Rakan Allahyarham menyifatkan pemergian seniman legenda itu sebagai satu kehilangan besar kepada bangsa Indonesia kerana kecintaannya terhadap seni tiada tolok bandingnya.
Pemuzik dan penyanyi terkenal, Katon Bagaskara berkata Allahyarham bukan sahaja mahir menggesek biola, malah memiliki bakat luar biasa membuat susunan muzik sehinggakan sesiapa yang mendengarnya dapat merasai alunan muzik tersebut.
Katon berkata seniman tersohor itu memiliki kelebihan tersendiri ketika menggesek biola sehingga tidak mampu ditandingi oleh pemuzik lain.
Penyanyi terkenal, Bob Tutopoli berkata Allahyarham yang dikenalinya merupakan seorang anak seni yang sentiasa mementingkan kesempurnaan dalam karyanya.
“Jika ada hal tidak sesuai dengan keinginannya, beliau (Idris) boleh menjadi marah. Idris mahu segalanya sempurna, tambahan pula kalau membawa nama Indonesia, beliau boleh menjadi seorang yang sangat sensitif,” kata Bob.
Dilahirkan di Jakarta pada 7 Jun 1938, Idris mula berjinak bermain biola pada usia enam tahun dan ketika berumur 10 tahun, seniman itu mengadakan persembahan solo pertama di Yogyakarta sehingga mendapat perhatian ramai.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham meraih pelbagai penghargaan di atas sumbangan besarnya kepada industri muzik Indonesia.
Bapa kepada pelakon terkenal, Lukman Sardi itu, juga mempunyai hubungan akrab dengan karyawan seni Malaysia dan pernah menerbitkan album susunan baru lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
– BERNAMA
20140428_092146_idris-sardi28

Anda mungkin juga meminati:

Tidak ada komentar:

Posting Komentar