Senin, 17 Maret 2014

MH370: MALAYSIA MASIH ADA HARAPAN DALAM PENCARIAN..

MH370: " Harapan Masih Ada "
KUALA LUMPUR – Hakikat bahawa tiada panggilan kecemasan,
tiada pihak menuntut wang tebusan dan tiada mana-mana kumpulan mengaku
bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370
memberi harapan bahawa pesawat itu dapat ditemui.

“Masih ada harapan bagi MH370 oleh kerana tiada panggilan distres, tiada
pihak menuntut wang tebusan atau mana-mana kumpulan mendakwa bertanggungjawab,”
kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada
sidang media mengenai usaha mencari pesawat MH370 di sini, hari ini.

Harapan itu juga terpancar dalam operasi di udara apabila operasi mencari
dan menyelamat, membabitkan 26 negara, bermula hari ini dengan tumpuan kepada
koridor selatan membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera
Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Australia dan Indonesia bersetuju untuk mengetuai usaha pencarian di dua
sektor koridor selatan di rantau masing-masing.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah
berhubung dengan rakan sejawatannya dari Australia dan China.

Dalam responsnya, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata Canberra
berdiri di belakang Malaysia dalam keadaan yang amat sukar ini dan dengan senang
hati memikul tanggungjawab tambahan ini.

Duta Vietnam ke Malaysia, Nguyen Hong Thao pula berkata kerajaannya komited
untuk meneruskan kerjasama dengan Malaysia dalam usaha
mencari pesawat berkenaan.

Pesawat MAS MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang
kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA)
pukul 12.41 pagi pada 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30
pagi hari yang sama.

Pesawat itu telah menyimpang daripada laluan asalnya dan pihak berkuasa
Malaysia percaya pesawat itu mungkin telah memasuki satu daripada dua koridor
penerbangan iaitu koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan
Turkmenistan ke utara Thailand, atau koridor selatan yang meliputi dari
Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Ketika insiden kehilangan pesawat itu masuk hari kesembilan, nasib penumpang
pesawat Boeing 777-200ER belum diketahui dan usaha mencari dan menyelamat
membabitkan pelbagai negara belum berhasil.

Susulan insiden itu, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berjanji
untuk mengkaji semula sistem radar negara selepas operasi mencari pesawat
berkenaan selesai.

Sementara itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang melawat keluarga
beberapa penumpang dan anak kapal rakyat Malaysia di Hotel Everly, Sepang dan
menasihatkan mereka supaya bertenang dan bersabar. - BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar