SEPANG – Minyak yang diisi pada pesawat Boeing 777-200ER penerbangan MH370 ke Beijing cukup untuk kira-kira lapan jam perjalanan termasuk minyak tambahan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, minyak tambahan sekitar 45 minit sehingga sejam itu adalah untuk tujuan kecemasan.
“Minyak pesawat MH370 itu untuk perjalanan Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing kira-kira enam jam setengah.
“Tapi tak diisi hanya untuk enam jam setengah,” katanya pada sidang media hari ini.
Jelasnya, minyak simpanan digunakan untuk tujuan kecemasan seperti lapangan terbang tujuan ditutup.
“Ada minyak simpanan antara 45 minit hingga satu jam untuk kecemasan seperti lapangan terbang di Beijing tutup.
“Jadi pesawat perlu mencari lapangan terbang lain paling hampir untuk mendarat,” katanya.
Hari ini masuk hari kesembilan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang hilang tanpa dikesan.
Operasi mencari diluaskan ke koridor utara dan selatan serta Lautan Hindi.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa komunikasi satelit terakhir dikesan daripada MH370 adalah jam 8.11, Sabtu lalu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar