Rabu, 02 April 2014

Kerana Percayakan Bomoh, Lelaki Biar Kemaluan Dimakan Dubuk

Zulu
Lusaka, Zambia – Seorang lelaki kini tiada kemaluan dan tiga jari kakinya selepas dimakan dubuk apabila seorang bomoh memberitahu dia boleh kaya jika kehilangan anggota badan.
Chamangeni Zulu dari Malawi dimasukkan ke Hospital Besar Chipata di Zambia yang terletak berhampiran sempadan Malawi selepas dia membiarkan dubuk itu memakan kemaluannya.
Katanya, seorang bomoh menjanjikan kekayaan jika dia ‘mengorbankan’ anggota badannya.
“Saya juga menemui beberapa orang yang giat dalam perniagaan yang juga memberitahu perkara sama,” katanya kepada akhbar Times of Zambia.
Sehubungan itu, katanya, dia memasuki kawasan semak sekitar jam 4 pagi Isnin lalu.
“Saya diarahkan berbogel. Seekor dubuk datang dan mula makan jari kaki saya sebelum turut memakan kemaluan saya,” katanya.
Horizontal_1396272247
Menurutnya, bomoh itu tidak memberikan arahan jelas, malah dia juga tidak sangka akan kehilangan anggota badan berkenaan sepenuhnya jika bersetuju melakukannya.
Namun Zulu tidak putus harapan dan masih mengimpi untuk jadi kaya.
“Walaupun kehilangan anggota badan yang penting, saya tetap ingin kaya,” katanya yang bekerja di Zambia sejak empat bulan lalu.
Menurut jurucakap Hospital Chipata, keadaannya stabil selepas dibawa untuk rawatan oleh anggota polis.
Sebelum ini pada 2012, hanya 80 kilometer dari tempat kejadian, seorang lelaki turut diserang dubuk ketika keluar membuang air di tandas yang terletak di luar rumahnya. – Agensi

Kedudukan Shila Jatuh Merudum Kerana MH370?

Kedudukan Shila Jatuh Merudum Kerana MH370?

LANTARAN isu boikot rakyat negara China terhadap Malaysia berikutan insiden pesawat MH370, penyanyi Shila Amzah yang sedang mencipta nama di sana turut terkena tempiasnya.
Ia jelas dilihat menerusi program realiti ‘I Am A Singer’ yang sebelum ini menyaksikan Shila berada di tangga pertama pada minggu ke-10 tiba-tiba menjunam jatuh ke tangga keenam pada minggu seterusnya.
Keputusan itu nyata mengejutkan peminat dan juri profesional kerana persembahannya jarang sekali mengecewakan.
Memetik laporan Harian Metro, ibu Shila, Fauziah Sarman berkata keputusan itu diterima Shila dengan hati terbuka.
“Kami tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung perubahan kedudukan yang sangat drastik itu disebabkan ada kaitan dengan isu MH370.
“Shila bersikap terbuka dengan keputusan itu. Baginya, perkara ini biasa apatah lagi sudah sampai ke peringkat separuh akhir, strategi undian penonton juga berubah kerana masing-masing mahu menyelamat­kan peserta tertentu.
“Kalau nak kata Shila diboikot, ketika insiden MH370 hangat diperkatakan di China, Shila tetap dilayan ­dengan baik dan peminat yang terserempak dengan Shila begitu teruja nak bergambar.
“Bagi Shila apabila dia berada dalam satu pertandingan dan memperoleh peluang, tiada alasan untuk patah semangat atau sambil lewa ketika membuat persembahan,” katanya.
Sabarlah Shila. Kalau insiden pesawat ini menjadi pengukur para peminat program tersebut untuk mengundi Shila, ternyata merekalah yang tidak bersikap profesional dalam hal ini.
Apa pun, kami yakin peminat sejati Shila akan terus menyokong dan mendoakan kejayaan Shila di persada antarabangsa.

Semua 227 Penumpang Bersih 4 Elemen – KPN

MH370_01
POLIS mendapati semua penumpang pesawat Malaysia yang hilang “bersih” daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi, tetapi masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang, kata Ketua Polis Negara  Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata siasatan terhadap 227 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 itu mendapati mereka “bebas” daripada empat elemen itu.
“Mereka didapati bersih daripada empat (elemen) itu. Ia (adalah) menurut prosedur (siasatan) kami sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan kualiti pasukan polis di ibu negara, hari ini memetik laporan Astro Awani.
Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan berdasarkan empat elemen itu terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.
Khalid berkata setakat ini polis telah merekodkan kenyataan daripada lebih  170 individu berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu dan menurutnya polis akan merekodkan lebih banyak kenyataan.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.
Khalid berkata polis tidak akan mendedahkan sebarang maklumat hasil siasatan insiden itu kerana ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
“Maafkan saya, terdapat perkara yang kami tidak boleh dedahkan kepada anda; bukan saya tidak mahu dedahkannya kepada anda tetapi kami tidak boleh berbuat demikian. Kerana ia adalah penyiasatan jenayah, sedang berjalan; kami belum memuktamadkan segalanya dan kami masih menunggu laporan daripada pakar di luar negara dan dalam negara.
“Anda perlu faham. Saya fikir kami amat konsisten (tentang siasatan). Siapa tahu, mungkin akan ada pendakwaan kemudiannya. Jadi, ini akan menjejaskan kes pendakwa raya sekiranya kami mula mendedahkan hasil penyiasatan kami,” katanya

Selasa, 01 April 2014

MH370: Tentera China Gagal Temui Apa-Apa Di 10 Lokasi Lautan Hindi

MH370: Tentera China Gagal Temui Apa-Apa Di 10 Lokasi Lautan Hindi
PEGAWAI Pemerintah kapal Haixun dari China yang melaksanakan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berkata tiada objek yang ditemui ada kaitan dengan pesawat MH370 di lebih 10 lokasi di mana objek berpotensi dikesan.
Kapten Jiang Long dari Kapal Haixun 01 memaklumkan kepada wartawan agensi berita Xinhua hari ini, kapal dari China telah pun menolak 11 lokasi di selatan Lautan Hindi sebagai lokasi kemungkinan pesawat MH370 terhempas.
Lokasi berkenaan merupakan di mana operasi mencari telah ditumpukan dalam minggu-minggu sebelum ini.
Objek-objek berpotensi yang dikesan oleh pesawat akan dimaklumkan kepada kapal laut untuk berlayar ke lokasi untuk mengutip objek berkenaan sebelum dianalisis untuk dikenalpasti.
Pada hari ini 11 pesawat dan sembilan kapal laut menjalankan operasi mencari pesawat MH370 itu.
Hari ini, sudah lebih tiga minggu pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang yang dalam penerbangan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur dilaporkan hilang.
Sebelum ini Ketua Pusat Penyelarasan Kerjasama Operasi (JACC) Angus Houston berkata, kemungkinan besar misi pencarian MH370 akan mengambil masa yang sangat lama

VIDEO: Christina Aguilera Dedikasi Lagu Untuk Tragedi MH370

VIDEO: ChristinaAguilera Dedikasi Lagu Untuk Tragedi MH370

Christina Aguilera sepatutnya dijadualkan membuat persembahan di Menara Berkembar Petronas bersempena dengan Minggu Grand Prix Formula One di Malaysia, minggu lalu.
Atas dasar menghormati insiden tersebut pihak penganjur telah membatalkan konsert tersebut.
Namun, biarpun konsert itu dibatalkan, Christina tetap hadir membuat persembahan tertutup di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur untuk peminat-peminat setianya di sini, baru-baru ini.
Christina juga melahirkan perasaan sedihnya di atas kehilangan pesawat tersebut malah mendedikasikan lagu The Voice Within untuk mangsa-mangsa MH370 serta ahli keluarga mereka.
Penyanyi berusia 32 tahun itu menghiburkan tetamunya dengan barisan lagu-lagu popularnya seperti Beautiful, Dirty, Say Something dan Genie in a Bottle. – MYNEWSHUB.MY

MH370: MAS Perkenal Peraturan Baru – Tambah Krew Dalam Kokpit?

KokpitB777
AKHBAR Daily Mail UK melalui laman webnya melaporkan beberapa peraturan baru melibatkan juruterbang sudah pun dikuatkuasakan oleh syarikat Malaysia Airlines (MAS) dalam penerbangan selepas tragedi melibatkan pesawat MH370.
Menurut laporan itu, peraturan baru itu diwujudkan bagi mengelakkan pihak tertentu daripada mengganggu alat kawalan pesawat sekaligus mengelakkan kejadian sama berulang.
Mengikut analisis pakar penerbangan sebelum ini, sistem transponder pesawat berkenaan telah didapati dimatikan secara sengaja secara salah bagi mengelakkan ia dikesan satelit dan radar.
Peraturan baru itu memperlihatkan MAS meletakkan seorang lagi anak kapal tambahan di dalam kokpit selain kapten dan pembantunya. Ia bagi memastikan, dua kru akan sentiasa berada dalam kokpit sekiranya seorang daripada mereka pergi ke tandas.
Daily Mail menyebut, langkah baru itu sebenarnya sudah pun dimulakan seminggu selepas tragedi MH370 8 Mac lepas tetapi ia hanya didedahkan hari ini.
Langkah berkenaan difahamkan dikenalpasti ketika siasatan awal insiden MH370, apabila diketahui ada campur tangan elemen manusia dalam kes kehilangan pesawat berkenaan.
Ia dikatakan dilakukan oleh seseorang dari luar kokpit yang masuk ke dalam ruang kawalan itu ketika seorang juruterbang tidak menutup pintu untuk ke tandas.
Bagaimanapun, memperlihatkan insiden MH370, pesawat mula dikesan berpatah balik dari laluan asal ke Beijing ketika kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Laporan Daily Mail melaporkan, kejadian itu dikatakan terjadi terlalu awal daripada masa sepatutnya seorang juruterbang perlu untuk menggunakan tandas.
MAS dikatakan enggan mengambil sebarang risiko dan mengarahkan seorang anak kapal memasuki kokpit jika juruterbang dibiarkan berseorangan.
Bagaimanapun kenyataan sebenar dari pihak MAS berkaitan perkara ini masih belum dapat ditemui setakat ini. – MYNEWSHUB.MY

MH370: Kenangan ‘Pelik’ Ketika Bersama Ketua Pramugara, Andrew Nari

MH370: Kenangan 'Pelik' Ketika Bersama Ketua Pramugara, Andrew Nari
 KENANGAN bersama Ketua Pramugara pesawat MH370 yang belum ditemui hingga sekarang, Andrew Nari tidak mungkin dapat dilupakan oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Datuk Mohamad Din Yusoh.
Meskipun sudah beberapa kali bertemu dengan anak kelahiran Sarawak itu, namun, kenangan sewaktu di Perth, Australia berlainan baginya dan seolah-olah mempunyai kaitan serta petanda akan berlakunya misteri kehilangan MH370.
Ikuti perkongsian cerita Mohamad Din bersama wartawan Sinar Harian, Amran Ali.
MEMANG. Sudah beberapa kali saya bertemu Andrew Nari. Kalau naik kapal terbang ke luar negara, terutama ke Eropah, walau tidak kerap, tetapi agak selalu juga kami sepesawat.
Tapi, kami sekadar membalas ‘hello’ dan senyuman.
Pada 15 November tahun lalu, saya ke Perth, Australia. Saya menggunakan penerbangan MAS, kelas bisnes, bersama seorang rakan bernama Datuk Shamsudin. Dan ketika itu, sekali lagi saya bertemu Andrew.
Kebetulan, sewaktu di Perth, MAS turut menempatkan anak kapal termasuk juruterbang di hotel yang sama tempat saya menginap.
Pada sebelah pagi keesokan harinya, selepas bersarapan, saya pelawa Andrew keluar.
Saya kata pada Andrew, kalau tidak ke mana marilah ke pasar. Kebetulan Shamsudin ada sebuah rumah di Perth. Dia hendak beli ikan untuk dimasak. Andrew menerima pelawaan itu.
Sepanjang perjalanan kami, banyak bercerita. Antaranya cerita bagaimana komitednya Andrew dengan MAS.
Kata Andrew, walaupun umurnya sudah hampir separuh abad, sudah lama berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu, tetapi tidak pernah ada perasaan jemu untuk terus bersama MAS. Malah kata Andrew, semakin hari rasa sayangnya pada MAS semakin menebal.
Saya kata pada Andrew sebenarnya saya pun serupa dengannya. Walaupun tidak bekerja dengan MAS, tapi saya sudah 32 tahun menggunakan perkhidmatan MAS untuk ke seluruh pelosok dunia.
“Ini kerana saya berkecimpung di dalam industri pelancongan. Saya mempunyai agensi pelancongan, awak pun tahu. Jadi semangat saya dengan awak sama, cintakan penerbangan nasional ini,” itu kata saya pada Andrew.
Sepanjang perbualan, Andrew juga ada meluahkan rasa kasih sayangnya terhadap keluarga yang tinggal di Kuching, Sarawak.

Saya tanya Andrew, kenapa tak bawa keluarga ke Kuala Lumpur? Kata Andrew, lebih mudah keluarganya berada di sana, lebih-lebih lagi boleh jaga orang tuanya.
Dari cerita Andrew, saya dapati dia seorang yang amat mengambil berat dan begitu sayangkan keluarganya.
Kejadian pelik
Sewaktu di Perth, kami sempat merakam gambar kenangan bersama sebelum Andrew menyambung penerbangan. Shamsudin ambil gambar kami gunakan kamera saya.
Bila pulang ke tanah air, ketika ingin cuci gambar diambil, tiba-tiba saya tengok kad memori pada kamera hilang. Puas saya cari tetapi tak jumpa.
Anehnya, sebulan selepas itu, saya bermimpi pasal kapal terbang terhempas. Tapi saya tak tahu kapal terbang mana. Dalam mimpi itu, saya nampak kain putih berguguran jatuh dari kapal terbang.
Selang dua minggu selepas itu, sekali lagi saya bermimpi tetapi kali ini mimpi pasal saya bersama Andrew di Perth. Tapi, saya langsung tidak ambil peduli dengan mimpi itu.
Sehinggalah pada 8 Mac lalu apabila Shamsudin menghubungi saya menyatakan ada kapal terbang MAS hilang dari radar dan antara yang berada di dalam pesawat adalah Andrew.
Saya terkejut dan kemudian beritahu Shamsudin tentang kehilangan kad memori kamera saya serta mimpi-mimpi yang saya alami.
Timbul terkilan di hati saya apabila kesemua gambar kenangan bersama Andrew sudah tiada.
Mujur Shamsudin masih menyimpan gambar saya bersama Andrew yang diambilnya dengan menggunakan telefon bimbit, jadi dia terus hantar gambar itu menerusi Whatsapps.
Seperkara lagi, saya tak pernah simpan keratan pas masuk setiap kali ke luar negara, biarpun menggunakan penerbangan kelas pertama.
Tetapi, pulang dari Perth pada November lalu, saya simpan pas masuk tersebut kerana pada masa itu saya mahu sangat menjadikannya salah satu kenangan bersama Andrew, kerana tidak selalu dapat berbual begitu akrab bersamanya.
Baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan beberapa pegawai tertinggi syarikat penerbangan itu. Mereka juga mengakui Andrew adalah seorang kakitangan yang berdedikasi serta setia kepada syarikat sepanjang hampir 25 tahun beliau berkhidmat.
Apapun yang berlaku ke atas MH370 , anak kapal dan penumpang yang ada didalamnya, termasuk Andrew, saya akan terus berdoa moga misteri ini akan terungkai. Moga kesedihan keluarga mangsa dan resah kita semua akan terlerai. – SINAR HARIAN