Selasa, 03 Juni 2014

Apa Nak Jadi? Isteri Terkulai Dalam Pelukan Kawan Baik Dan Bekas Teman Lelaki !




SAYA berumur 27 tahun dan baru rujuk dengan suami, baru-baru ini. Kami tidak mempunyai anak dan bercerai sebulan lalu kerana sikap suami yang kasar dan panas baran.

Pada masa sama, suami tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya, tetapi akan mengungkit apabila saya melakukan kesilapan walaupun kecil.

Disebabkan hal itu, kami sentiasa bergaduh dan hubungan kami mulai renggang dan akhirnya dia menghalau saya keluar dari rumah dan melafazkan cerai.

Sebelum berpisah, suami bekerja tidak tentu masa dan saya selalu ditinggalkan sendirian di rumah. Dia juga suka memaki hamun apabila saya lambat melakukan kerja rumah.

Bukan saya sengaja, tetapi saya juga bekerja. Dia terlalu inginkan kesempurnaan sehingga menuduh perkara yang tidak pernah saya lakukan.

Saya sakit hati dan setiap malam melayari laman web sosial sehingga berjumpa semula bekas kekasih.

Apabila setiap hari berhubung, saya bahagia sehingga terlanjur dengannya, tetapi hanya sekali sahaja. Saya rasa berdosa dan mengambil keputusan berpisah dengannya secara baik.

Dia juga akur dan hormat keputusan saya. Sejak itu kami tidak lagi berhubung dan melakukan hal masing-masing. Kemudian, saya berjumpa semula dengan kawan baik lelaki yang lama terpisah.

Kami mulai rapat. Mulanya, seperti biasa, tetapi dengan keprihatinannya, saya mulai sayang dia lebih daripada seorang kawan sehinggalah kami terlanjur.

Hubungan kami tidak lama kerana mungkin tiada jodoh. Selepas berpisah dan saya rasa diri ini amat kotor.

Saya menyesal dan insaf manakala suami pula tidak jemu memujuk bersamanya semula.

Selepas rujuk, suami saya bertanya kepada saya, ada tidak mana-mana lelaki yang sentuh saya sebelum ini?

Saya jawab tiada. Saya tidak berniat untuk menipu cuma saya tidak mahu lagi bergaduh. Saya bertekad menjadi isteri yang baik.

Saya selalu memohon maaf dengan suami zahir dan batin.

Suami memaafkan dan menerima saya sebagai orang yang baru. Persoalannya sekarang, saya masih rasa serba salah pada suami kerana sebelum bercerai dulu saya pernah terlanjur dengan lelaki lain.

Adakah apa yang saya buat ini betul dengan mendiamkan diri? Saya sentiasa berdoa semoga suami dan keturunan saya dijauhi melakukan dosa sama.

Apa pendapat Dr?.


INSAN JAHIL,
Kuala Lumpur


TUJUAN Islam ialah untuk menjaga maruah manusia supaya tidak tercemar dengan dosa zina. Begitu Islam menghendaki setiap manusia supaya tidak menurut nafsu semata-mata.

Hawa nafsu hendaklah dikawal agar tidak menjatuhkan maruah dan kehormatan diri. Islam menetapkan hukuman keras di dunia, iaitu 100 kali sebatan bagi penzina belum berkahwin (ghayr muhsan) dan hukum rejam sehingga mati bagi penzina yang sudah berkahwin (muhsan).

Memandangkan hukuman di dunia tidak terlaksana lagi, hukuman di akhirat tetap menunggu kepada penzina sama ada yang muhsan atau bukan muhsan.

Tiada jalan lain selain bertaubat kepada Allah agar mengampunkan dosa yang dilakukan. Suami pula tidak upaya mengampunkan dosa dengan Allah itu.

Selain itu, anda hendaklah melakukan segala suruhan Allah terutama solat lima waktu kerana ia berupaya menyekat kemaksiatan dan perkara mungkar.

Berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang Muslimah yang baik lagi solehah. Mudah-mudah keluarga dan anak terhindar daripada terlanjur melakukan perkara maksiat dan dosa besar.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar